Monday, May 19, 2008

TINDAKAN MAHATHIR BUKTI UMNO TIDAK LAYAK DIPERCAYAI

Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Tue May 20, 08 6:18:14 am MYT

Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keluar dari Umno merupakan satu tindakan yang radikal sekaligus membuktikan betapa Umno kini berada dalam keadaan yang sangat parah, dengan penyakit rasuah, amalan tidak demokratik dan penipuan yang bukan hanya diamalkan dalam pilihan raya malah sesama mereka sendiri di dalam parti.

PAS merasakan tindakan Tun ini turut membuktikan yang Umno sudah tidak layak lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi penyelamat negara, bangsa Melayu dan agama Islam.
PAS sentiasa tegas dan konsisten dengan Islam sebagai penyelamat kepada bangsa Melayu dan negara seluruhnya.
PAS sentiasa terbuka kepada semua pihak yang bersedia melakukan "islah" atau perubahan sama ada ianya Pakatan Rakyat yang sedia ada atau pihak Umno sendiri yang bersedia melakukan perubahan dengan syarat-syarat berikut:
1. Pihak berkenaan hendaklah mengekalkan kepimpinan Melayu Islam yang baik.
2. Berlaku adil kepada semua rakyat pelbagai kaum dan agama sebagai penyelesaian kepada masalah masyarakat majmuk.
3. Perpaduan Melayu mestilah dipelihara berasaskan Islam manakala perpaduan rakyat pelbagai kaum,dan agama dibentuk berasaskan keadilan dan hak yang adil buat semua.
4. Proses perubahan hendaklah berlaku secara berakhlak, luhur dan berlandaskan etika yang baik.

PAS sangat berpengalaman dalam arus politik negara dalam apa sahaja situasi dan keadaan sejak Merdeka sehinggalah ke hari ini.
PAS pernah memimpin kerajaan negeri, menyertai kerajaan campuran diperingkat pusat, bekerjasama dengan pakatan pembangkang dan malah pernah bersendirian sebagai pembangkang.
PAS akan mengkaji pengalaman ini dari masa ke semasa, bersama Pakatan Rakyat dan jika perlu menegur Pakatan Rakyat disamping memberi perhatian dan mengkaji perubahan yangs edang berlaku dalam Umno pasca pilihan raya, demi menyusun langkah dan strategi yang sebaik-baiknya demi masa depan negara.
Presiden PAS

Thursday, May 15, 2008

ISLAM YANG SEBENAR ADALAH DARI QURAN DAN SUNNAH RASULULLAH SAW.

Dato' Dr Haron Din Thu May 15, 08 4:58:25 pm MYT

Soalan: Negara umat Islam, khususnya di Timur Tengah, yang dihuni ramai bijak pandai Islam khasnya ulama-ulama besar, masih menerima pakai undang-undang dan peraturan manusia yang diistilahkan 'man made law' seolah-olahnya wajar berbuat demikian dan tidak bercanggah dengan Islam. Mengapa di Malaysia tidak boleh mengikut sedemikian? Mengapa perlu kepada undang-undang Islam? - MOHAMAD KHALID, Bukit Beruntung
Jawapan: Islam sebenar tidak boleh diukur dengan apa yang orang Islam hari ini lakukan. Jika Islam hendak diukar dengan tingkah laku umat Islam hari ini, maka akan rosaklah Islam itu. Lihatlah pada orang Islam yang melancong ke merata dunia. Apa yang mereka lakukan? Sikap dan pakaian mereka yang tidak melambangkan budaya Islam yang sebenar.
Oleh kerana itu, apa dilakukan di negeri-negeri umat Islam di Timur Tengah, tidak semestinya melambangkan Islam sebenar. Semua orang tahu sama ada orang Arab atau bukan Arab, tidak boleh menjadi cermin kepada Islam. Kelakuan ramai orang Islam hari ini, kebanyakannya jauh menyimpang daripada tuntutan Islam sebenar. Demikian juga dengan negara umat Islam sama ada di Timur atau di Barat. Keadaannya sama sahaja. Selagi negara tidak melaksanakan Islam dengan sebaik-baiknya, selama itu negara-negara itu tidak boleh dianggap Negara Islam yang sebenar.
Perlu kita fahami bahawa, negara umat Islam suatu ketika dahulu, semuanya patuh dan tunduk kepada Islam, sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. memerintah Madinah. Maka berubahlah negara Madinah, Makkah dan seluruh Semenanjung Tanah Arab menjadi Islam sehingga ke hari ini. Kedudukan negara Arab yang lainnya, sebuah demi sebuah menjadi negara Islam. Maka tertubuhkan kerajaan Islam pada zaman sahabat, tabiin yang digelar Khulafa ur-Raashidin, Daulah Umaiyah, Daulah Abasiyah sehingga kepada kerajaan Islam terakhir Khilafah Uthmaniyah yang tamat pada tahun 1924.
Semuanya kerajaan-kerajaan ini melaksanakan pemerintahan berasaskan hukum-hukum Islam. Pada 1924, berlaku tragedi di mana musuh-musuh Islam dapat mengatasi dan menguasai kekuasaan Islam, seterusnya menukarkannya kepada pemerintahan sekular. Dasar sekular tidak memberikan ruang penting kepada agama untuk menjadi asas pemerintahan, undang-undang Islam diketepikan dan undang-undang ciptaan manusia diterima pakai.
Berlaku perang dunia pertama dan kedua, yang berakhir dengan kemenangan pihak Barat yang memusuhi Islam. Umat dan negara Islam dijadikan harta rampasan Barat. Wilayah umat Islam difaraidkan sesama kuasa Barat, di antara mereka, Indonesia dijajah oleh Belanda, Tanah Melayu dijajah British, demikian juga negara Arab, kebanyakannya jatuh kepada kuasa Barat. Penjajah yang menguasai negara Islam menukar keseluruhan sistem pemerintahan dan undang-undang kepada sistem mereka. Sejak daripada itu, meskipun negara umat Islam yang dijajah sudah merdeka kini, termasuk negara-negara Arab, pengaruh penjajahan masih menebal.
Barat tidak akan memerdekakan sebuah negara umat Islam, melainkan dipastikan dahulu, negara tersebut mesti berkiblat dan berundang-undangkan Barat. Pelbagai tekanan dan ugutan dilakukan ke atas pemerintah baru negara umat Islam, supaya mereka ditabdir dengan kehendak Barat dengan tidak mengembalikan perundangan Islam asal. Buktinya jelas. Misalnya Algeria yang suatu ketika dimenangi oleh Parti Penyelamat Islam (FIS) pada pilihan raya umum, tetapi dibatalkan oleh pemerintah yang disokong Barat. Palestin, di mana Hamas yang menang dalam pilihan raya secara bebas dan demokrasi, tetapi dinafikan Barat, khususnya Amerika Syarikat. Kuasa memerintah dan ekonomi disekat. Justeru umat Islam perlu memahami dan bangun bersatu di bawah perjuangan Islam bagi membolehkan Islam yang syumul dilaksanakan seperti yang dikehendaki Allah SWT.
Kayu ukur sebenar untuk mengukur Islam dilaksanakan atau tidak, adalah menerusi al-Quran dan as-Sunnah. Selagi kehendak kedua-dua ini tidak dilaksanakan, maka selagi itulah Islam yang sebenar belum terlaksana. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menyebut (mafhumnya): "Pada suatu zaman nanti, umat Islam akan berhadapan dengan pelbagai percanggahan yang banyak, ingatlah ketika itu, pemerintah dengan al-Quran akan berpisah dan janganlah kamu berpisah daripada al-Quran." Ertinya Nabi pernah memberi peringatan bahawa pada suatu zaman selepas baginda, pemerintah tidak lagi berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, hukum al-Quran terpisah dan diketepikan oleh pemerintah.
Nabi mengingatkan kita, jangan sesekali kita terpisah daripada al-Quran, kerana itu maka, perjuangan untuk mendaulatkan Islam menjadi suatu keperluan untuk diperjuangkan sehingga akhirnya. Wallahu a'lam. - lanh

Saturday, May 10, 2008

7 TAHUN DASAR PERTANIAN NEGARA.

TANAMAN PADI DAN BIOFUEL


Di masa kini Malaysia dan dunia sedang di landa krisis pemakanan. Presiden Indonesia Bambang Susilo Yudoyuno menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu membuat langkah drastik mengatasi masalah makanan di dunia.

Sebuah Maahad Tahfiz mendapati bahawa harga beras naik secara mendadak. Sebelum pilihanraya 8 Mac 08, harga beras campur Jasmin seguni adalah RM82.00, tetapi kini seguni mencecah RM165.00. Peningkatan harga adalah sebanyak 100%, di tambah pula dengan bekalan terhad di sekitar Selayang, Selangor.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia menguruskan pembelian tambahan beras sebanyak 500,000 tan dari Thailand. Mengikut rekod Kawal Selia Padi dan Beras Negara, jumlah beras di Malaysia ketika ini adalah 556,933 ton, hanya cukup untuk tiga bulan lagi. Fenomena ini menuntut agar Malaysia membuat dasar besar terhadap penanaman beras. Krisis makanan harus ditangani dengan serius oleh pihak berkuasa Malaysia, untuk mengatasi keperluan semasa , mahupun jangka masa panjang. Sikap kurang prihatin dalam merangka dasar pemakanan Negara akan mengundang masalah besar kepada ekonomi dan sosial Malaysia.

Allah SWT telah mengingatkan umat betapa dasar pemakanan yang berkesan adalah sangat penting bagi sesuatu kerajaan dan rakyat , seperti dinukilkan dalam FirmanNya :

Surah Yusuf- 47 dan 48:

“ Yusuf menjawab: “ Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya, kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.”

“ Kemudian akan datang selepas tempuh itu , tujuh tahun yang bersangatan kemaraunya, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya, kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan ( untuk dijadikan benih ).”

Menghadapi kekurangan mendadak bekalan beras di Malaysia, memanggil kerajaan Malaysia mengimpot sejumlah besar dari luar negara. Namun itu adalah langkah jangka pendek sahaja. Kerajaan segera mewujudkan stok penimbal bagi beras, yang tugas ini diamanahkan kepada syarikat Bernas.

Tetapi pengajaran yang sangat besar dari Surah Yusuf di atas adalah menuntut kerajaan menyusun langkah besar dasar kerajaan bagi makanan , khususnya beras.

Diantara langkah yang wajar dikaji adalah:

1. Mengenal pasti jenis specis padi yang boleh ditanam 5 kali musim dalam 2 tahun.

2. Kerajaan memajukan tanah-tanah dan sawah-sawah terbiar hingga menjadi jelapang padi.

3. Kerajaan membuka jelapang padi baru di Sabah dan Serawak.

4. Kerajaan menjadikan pertanian padi sebagai agro-bisnes utama kepada agenda Kementerian Pertanian dan Asas tani.

5. Kerajaan mengambil inisiatif memajukan teknologi aplikasi dalam penanaman padi.

6. Kerajaan memajukan teknologi penyimpanan beras supaya tahan lama.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
" Jika penduduk sesuatu kampung itu BERIMAN dan TAKUT kepada Allah, nescaya Allah akan bukakan pintu keberkatan dari seluruh langit dan bumi"

7. Kementerian Pertanian dan Jakim harus berganding bahu untuk melahirkan pesawah dan petani yang beriman dan takut kepada Allah SWT.
Sesungguhnya Kementerian Pertanian bertindak sebagai pemangkin kepada kemajuan tanaman beras, manakala Jakim bertindak sebagai mekanisma Modal Insan yang proaktif dan produktif.

Melalui Jakim petani-petani harus didorong untuk gigih bertani, kerana kekayaan didunia menunggu di hadapan, dan ganjaran pahala bertani juga besar menunggu di Akhirat nanti.

Pernah seketika Rasulullah SAW bersalam dengan petani, mendapati tangan petani itu begitu kasar, maka Rasulullah mendoakan keberkatan kepada petani itu.

Jakim melalui pendakwahnya, dibantu dari budget dan logistik kerajaan harus menyeru petani-petani mengamalkan sikap " Amar makruf" dan " Nahi Mungkar". Jakim mengajak umat menunaikan suruhan Allah , dan Jakim menyeru ummat meninggalkan maksiat dan larangan Allah.

Inilah faktor asas terpenting kejayaan dan kemajuan dasar pertanian negara. Sifat Takut kepada Allah jugalah faktor penting mengelak dari sebarang korupsi dan ketirisan dasar pertanian negara. Sebaliknya dalam erti kata lain , kerana tidak beriman dan tidak takut kepada Allah SWT menyebabkan berlakunya korupsi dan rasuah dalam melaksanakan dasar pertanian negara dan juga dasar-dasar lain dalam dunia ini.

Bagaimana pula krisis MINYAK , kini naik kepada USD124 per barrel? Apakah dasar bahanapi Malaysia? ..........bersambung siri 2 Dasar Negara.

Sekian.

Hj. Mustapa Kamal Maulut.
Kajian PhD-Engineering.

Friday, May 9, 2008

NASIHAT KEPADA RAJA PETRA DAN BLOGERS.

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Hrkh) -

Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengutuskan warkah kepada Raja Petra Kamarudin yang dipenjara dan didakwa di bawah Akta Hasutan kelmarin.
Dalam surat yang dihantar ke kediaman pengendali laman web Malaysia Today hari ini, Tuan Guru kagum dengan keberanian Raja Petra mempertahankan kebenaran walaupun terpaksa menerima pelbagai risiko.

Beliau turut mengajak Raja Petra mencontohi perjuangan Nabi Yusuf yang tetap istiqamah walaupun dipenjarakan.
Raja Petra dibebaskan hari ini selepas isteri beliau Marina Lee Abdullah membayar wang jaminan sebanyak RM5000.

Kes beliau yang disabitkan melalui tulisannya di portal Malaysia Today yang menyentuh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak terbabit dalam kes pembunuhan Altantuya Shaaribu akan disebut 6 Oktober depan.

Berikut disiarkan teks penuh surat Tuan Guru Nik Aziz:-
8hb Mei 2008/ 2 Jamadil Awwal 1429
YM. Raja Petra Raja Kamarudin
Warkah Simpati dan Pengiktirafan

Saya menerima berita mengenai nasib tuan yang dituduh dibawah Akta Hasutan 1948 dan kini ditahan reman dalam penjara Sg. Buloh sehingga kes disebut di mahkamah pada 6 Oktober 2008 dengan penuh kesedihan.
Bagaimanapun, jauh di hati saya, saya masih terasa kagum kerana di sana masih ada seorang sehebat tuan yang cekal mempertahankan apa yang difikirkan benar.
Prinsip ini cukup selaras dengan dasar anutan Agama Islam kita yang sentiasa bertunjangkan amar makruf nahi mungkar.

Ia kebetulan disebut juga oleh demokrasi dan turut diperuntukkan di dalam perlembagaan kita di bawah perkara kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.
Soal bersalah atau sebaliknya; maka terlanjur tuan telah dituduh di bawah Akta Hasutan, maka ia terpulanglah kepada proses keadilan di mahkamah yang selanjutnya.

Sewaktu Nabi Allah Yusuf 'alaihissalam dikurung oleh pihak berkuasa di zamannya kerana fitnah, Yusuf berkata, "wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh."

Lantaran istiqomah Nabi Yusuf itu, Allah maqbulkan doa baginda lalu "menghindar Yusuf dari tipu daya mereka. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Petikan dari Surah Yusuf Ayat 33 dan 34).
Selaras dengan perkembangan ini, izinkan saya turut bersama mendoakan tuan agar sentiasa dipelihara kesihatan dan keselamatan oleh Allah SWT.

Semoga yang benar itu akan terserlah jua walaupun harganya adalah pengorbanan. Selagi tuan benar dan kita semua benar di sisi Allah SWT, tuan dan kita pada amnya tidak perlu merasa khuatir.
Mari kita terus tabah, bersama dengan perjuangan demi menegakkan yang hak dan menolak kebatilan.

Salam perjuangan. Wassalam.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT Menteri Besar Kelantan Merangkap Mursyidul Am PAS

Tuesday, May 6, 2008

KETUANAN MELAYU - siri 5

Hanya Islam dapat angkat martabat Melayu
Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Tue May 06, 08 10:41:31 am MYT


PAS yakin bahawa martabat, keutuhan dan jatidiri bangsa Melayu hanya dapat diselamatkan melalui Islam. Hanya apabila orang-orang Melayu kembali dan berpegang teguh kepada Islam, maka ketika itu barulah bangsa ini dapat memperolehi keselamatan di dunia dan juga di akhirat.


Sebarang usaha samada sengaja ataupun itdak untuk meninggal atau meminggirkan Islam akan mengakibatkan bangsa ini tidak selamat di dunia, apalagi di akhirat.
Masalah umat Melayu selama ini berpunca dari tindakan kita meninggalkan kewajiban meletakkan Islam dilandas yang sebenar. Malah kedudukkan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pun tidak kita hargai.


PAS merasakan masalah umat Melayu berpunca dari sikap Umno yang telah meneruskan pembelengguan terhadap Islam yang diamalakan oleh penjajah British. Umno menerima kuasa dengan menambahkan lagi ikatan-ikatan yang sebenarnya telah menyekat taraf dan kedudukan Islam dan mengelirukan bangsa Melayu.
Tindakan ini telah merosakkan pemikiran orang Melayu sehingga menjadikan mereka seolah bertuhankan Umno. Malah orang Melayu sehingga beranggapan yang Umno lah segala-galanya, yang memberikan rezeki dan memajukan mereka.


Umnolah yang sesungguhnya telah menghakis beberapa ciri-ciri tamaddun Islam yang sedia terbentuk dalam masyarakat Melayu sebelum ini.
Di antaranya ciri ilmu, di mana Umnolah yang bertanggungjawab menghapuskan penggunaan dan penagajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah, mengawal pengajian agama di masjid-masijd termasuklah khutbah-khutbah Jumaat, semata-mata untuk kepentingan politik mereka yang telah mengakibatkan kefahaman agama orang Meayu semakin longgar dan lemah.


Bagi PAS sekiranya agenda pemuafakatan dan penyatuan umat Melayu mahu dilangsungkan, maka ianya mestilah mengambil kira dan menceduk dari model yang telah dibentuk dengan jayanya oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Rasulullah s.a.w telah berjaya menyatukan kabilah-kabliah Arab di zamannya dengan Islam dan bukannya melalui nasionalisam atau semangat kebangsaan Arab. PAS percaya orang Melayu akan dapat diangkat martabat mereka kiranya mereka serius menjadikan Islam sebagai pegangan , dasar dan matlamat hidup .


Presiden,Parti Islam SeMalaysia (PAS)

PROFESOR UNGKU AZIZ YANG DIPERTUA ANGKASA


PAK ENGKU KEMBALI KE PANGKUAN ANGKASA.

Pada 5 Mei 2008, SKM telah “reinstate“ Profesor Dr Ungku Aziz kembali dalam saf kepimpinan Angkasa. Kini krisis selama 2 bulan di Angkasa sudah ditamatkan dengan pengumuman oleh pihak SKM, semuanya kembali kepada status quo. Tiada lagi istilah pemangku, di mana semua anggota Lembaga Pengarah Angkasa kembali kepada jawatan asal, yang terdiri dari Yang Di Pertua, Timbalan Yang Di Pertua Prof Dr. Mohd Ali Baharom, dan 3 Naib Yang Di Pertua, dan sejumlah Anggota-anggota JKT Angkasa.

Bagaimana boleh mendamaikan kepimpinan Angkasa dan meminimumkan pergeseran kepimpinan Angkasa? Pada pandangan minda saya ada dua perkara besar perlu dijadikan panduan:

1. Menselaraskan matlamat perjuangan Angkasa ke arah mendaulatkan Muamalat Islam.

2. Menghayati segala kerja dan perjuangan menepati konsep ibadah dalam Islam.

AJK DPMMKL di Ucap Utama YB Datuk Noh Omar, Menteri Pembangunan

Usahawan dan Koperasi di Kota Baharu, Kelantan - 4 April 2008


Dalam Mesyuarat Agung Kebangsaan Angkasa di Universiti Malaya 2006, seorang perwakilan dari Koperasi Ukhwah membangkitkan ke arah mana hala tuju Angkasa dalam mengendali perniagaan ini. Adakah semata-mata melayari dunia koperator dari tahun ke tahun tanpa ada matlamat yang jelas berbanding dengan tuntutan Fardu Kifayah .

Lantara itu perwakilan itu mengimbas betapa kekayaan dan keuntungan perniagaan itu harus di projekkan untuk membesarkan syiar Islam. Jika tidak sebaliknya akan mengelabukan mata, seterus menjejaki jalan-jalan kekufuran.

Contoh sejarah mengingatkan kepada kita di mana orang kaya Qorun , dengan kekayaannya hanya hidup berpoya-poya, tanpa arah perjuangan , mengakibatkan ia tenggelam kufur kepada Allah SWT, dan mati tertimbus bersama kekayaannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“ Akan ditimpa kehinaan manusia itu di mana sahaja mereka berada melainkan mereka menghubungkan diri mereka dengan Habluminallah dan Habluminannas.”

Ini mendorong bahawa matlamat pergerakan Angkasa itu harus dijuruskan ke arah membangunkan modal insan yang mendekatkan hubungan dengan Allah, dan menggerakkan ekonomi ke arah membangunkan hubungan sesama manusia yang sangat luas berpandukan syariat Islam. Apa-apa aktiviti yang telah dilaksanakan oleh Angkasa itu menuntut untuk di perluaskan dan dihebatkan , hingga ekonomi Fardu Kifayah dapat ditegakkan dan terserlah memberi payung kepada masyarakat.

Pada Mesyuarat Agung Kebangsaan Angkasa di Universiti Malaya 2007 , sekali lagi perwakilan dari Koperasi Ukhwah menyarankan agar Angkasa menubuhkan Majlis Penasihat Syariah, yang mempunyai 2 tujuan, mewujudkan suasana tarbiah Islamiah kepada warga Angkasa, di mana hati-hati akan sentiasa membesarkan Allah SWT dan merasakan takut kepada siksaan Allah SWT. Ini adalah elemen yang paling penting dalam mendamaikan kepimpinan Angkasa.

Kedua , Majlis Penasihat Syariah ini berperanan untuk mencungkil khazanah Fardu Kifayah yang perlu dikaji oleh Angkasa, seterusnya memandu agar aktiviti ekonomi itu dilaksanakan berpandukan syariah Islam. Majlis Syariah akan menegur dan memberi nasihat ke atas perlanggaran syariah dalam berekonomi dan pentadbiran. Hidup berpandukan syariah adalah kunci kejayaan dalam berekonomi.

Allah SWT berfirman : ( Surah An Nur - 37 ):
“ Ibadat itu dikerjakan oleh orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau jual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat, serta memberi zakat, mereka takutkan hari Kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan”.

Mengambil pengajaran dari Firman Allah SWT di atas, ada beberapa perkara harus dijadikan etika para koperator demi memastikan berjaya dibidang perniagaan, dan selamat dari siksaan Neraka Allah di Akhirat kelak:
1. Sentiasa mengingati Allah, ertinya tidak melakukan maksiat dalam kehidupan harian.
2. Menunaikan solat.
3. Mengeluarkan zakat.
4. Takut hari akhirat, sentiasa sedar dosa dan kejahatan akan disiksa di Neraka Allah.
5. Mengharap rezeki dari Allah, ertinya rezeki yang kita terima dan ambil itu adalah halal di sisi Allah.

Selamat maju jaya Angkasa.

Pengerusi Koperasi UKHWAH.

Sunday, May 4, 2008

AGENDA KETUANAN MELAYU Siri 4

Hanya Islam yang dapat angkat martabat Melayu - Presiden PAS
Wan Nordin Wan Yaacob Sun May 04, 08 12:13:22 pm MYT


KUALA LUMPUR, 4 Mei (Hrkh) - PAS yakin bahawa martabat, keutuhan dan jatidiri bangsa Melayu hanya dapat diselamatkan melalui Islam, kata Presidennya, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

"Hanya apabila orang-orang Melayu kembali dan berpegang teguh kepada Islam, maka ketika itu barulah bangsa ini dapat memperolehi keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

"Sebarang usaha samada sengaja ataupun tidak untuk meninggal atau meminggirkan Islam akan mengakibatkan bangsa ini tidak selamat di dunia, apalagi di akhirat," katanya dalam satu kenyataan rasmi parti hari ini.

Masalah umat Melayu selama ini berpunca dari tindakan mereka meninggalkan kewajiban meletakkan Islam dilandas yang sebenar, katanya. Malah kedudukkan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pun tidak dihargai, ujarnya. PAS merasakan masalah umat Melayu berpunca dari sikap Umno yang telah meneruskan pembelengguan terhadap Islam yang diamalakan oleh penjajah British.

"Umno menerima kuasa dengan menambahkan lagi ikatan-ikatan yang sebenarnya telah menyekat taraf dan kedudukan Islam dan mengelirukan bangsa Melayu.

"Tindakan ini telah merosakkan pemikiran orang Melayu sehingga menjadikan mereka seolah bertuhankan Umno. Malah orang Melayu sehingga beranggapan yang Umno lah segala-galanya, yang memberikan rezeki dan memajukan mereka," tegasnya.

Umno lah yang sesungguhnya telah menghakis beberapa ciri-ciri tamaddun Islam yang sedia terbentuk dalam masyarakat Melayu sebelum ini, katanya.

"Di antaranya ciri ilmu, dimana Umno lah yang bertanggungjawab menghapuskan penggunaan dan penagajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah, mengawal pengajian agama di masjid-masijd termasuklah khutbah-khutbah Jumaat, semata-mata untuk kepentingan politik mereka yang telah mengakibatkan kefahaman agama orang Meayu semakin longgar dan lemah," katanya.

Bagi PAS sekiranya agenda pemuafakatan dan penyatuan umat Melayu mahu dilangsungkan, maka ianya mestilah mengambil kira dan menceduk dari model yang telah dibentuk dengan jayanya oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.

Ujarnya, Rasulullah s.a.w telah berjaya menyatukan kabilah-kabliah Arab di zamannya dengan Islam dan bukannya melalui nasionalisam atau semangat kebangsaan Arab.

PAS percaya orang Melayu akan dapat diangkat martabat mereka kiranya mereka serius menjadikan Islam sebagai pegangan, dasar dan matlamat hidup, katanya.

Agenda Melayu, Memperkasakan Ekonomi Melayu - siri 3,

Memperkasakan ekonomi Melayu dapat di rialiasasika dengan membela usahawan-usahawan melayu dalam menggarap projek-projek kerajaan secara kongsi kerja atau kongsi rezeki. Malah projek-projek tertentu di kerjakan secara konsortium.

Kerajaan harus bersikap selaku Moderator dan Fasilitator menjalankan projek-projek tersebut di atas. Tidak terkecuali institusi kewangan harus dipanggil bersama mendokong Memperkasakan Ekonomi Melayu ini.


CEO Urus Malaysia.

Melahirkan Koperasi 5 Bintang

Pada 2 Mei 2008, di Tg. Karang Selangor, Menteri Pembangunan usahawan dan Koperasi telah melancarkan wawasan untuk melahirkan sebanyak mungkin koperasi yang berjaya bertaraf 5 bintang. Alasannya sudah sekian lama koperasi wujud di Malaysia, dengan jumlah 5170 koperasi, keanggotaan 6.32 juta, asset RM47 bilion, namun untuk melahirkan 100 koperasi bertaraf 5 bintangpun amat susah.

Mengimbas betapa sokongan dan pinjaman yang telah di keluarkan oleh pihak MARA dan TEKUN untuk melahirkan usahawan jutawan bumiputra, namun usaha itu tidak begitu menyerlah. Malah meninggalkan ramai peminjam-peminjam yang tidak pandai memulangkan duit.

Pada pandangan saya, untuk menyahut seruan Menteri ini, Suruhanjaya SKM harus bertindak selaku MODERATOR, FASILITOR dan PEMBIAYA. Dengan adanya Tabung Modal Pusingan sedia ada, dan SKM menguatkuasakan 2 lagi tabung dana Central Liquidity Fund dan Cooperative Development Account, ada harapan seruan ini dapat realisasikan.

SKM harus mengenalpasti dan menjemput koperasi-koperasi yang berpotensi menyertai projek "groom big" di beberapa sektor sasaran. Setiap koperasi yang terlibat itu dikehendaki mengeluarkan modal kerja sekurang-kurangnya 10%, maka dengan itu jika 10 koperasi dapat dikumpulkan mengeluarkan 10% modal kerja awal, ia menuntut SKM melalui 3 dana tersebut BERANI membiaya 90% lagi kewangan projek tersebut. Projek ini harus di yakini sangat strategik dan berpotensi berjaya.

Koperasi UKHWAH berani mendepani projek pembangunan hartanah di bandaraya Kuala Lumpur, dengan mempelawa koperasi-koperasi lain yang berminat , dan SKM sangat diharap dapat memberi respon yang positif dengan projek groom big ini.

Sekian.

Pengerusi Koperasi UKHWAH

Saturday, May 3, 2008

BANGLO SRI HARTAMAS, KL



Ukhwah beli banglo
Oleh Nor Azura Abdul Jalilzura@hmetro.com.my

KOPERASI Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Koperasi Ukhwah) mengembangkan pemilikan hartanahnya di Lembah Klang dengan pembelian lapan unit banglo berkembar di Kiara View, Sri Hartamas bernilai kira-kira RM11.5 juta.

Pengerusinya, Mustapa Kamal Maulut, berkata hartanah itu disewakan kepada syarikat multinasional dan profesional luar negara yang memilih Malaysia sebagai rumah kedua melalui program ‘Malaysia My 2nd Home’ yang dianjurkan kerajaan. “Kadar sewaan antara RM9,000 hingga RM12,000 sebulan dan diharap dapat meningkatkan nilai purata keuntungan koperasi dalam bidang hartanah antara sembilan hingga 10 peratus setahun,” katanya ketika majlis menandatangani perjanjian sewaan lapan banglo berkembar selama tiga tahun dengan Metropolis Property Sdn Bhd di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis disaksikan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mangsor Saad. Hadir sama, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat dan Pengarah SKM Wilayah Persekutuan, Tan Chu Lan.

Pada majlis sama, Metropolis Property Consultant Sdn Bhd diwakili Pengarahnya, A K Ong menyerahkan cek sewaan lapan banglo itu yang bernilai RM2.88 juta kepada Mustapa Kamal.

Mustapa berkata, sehingga kini ahli koperasi Ukhwah sudah mencecah 40,000 orang. Menurutnya, pihaknya yakin mampu memberi dividen tahunan 10 peratus kepada ahli berikutan kejayaan koperasi mencatatkan keuntungan hampir RM4 juta tahun lalu. “Justeru, kami yakin dengan pembelian hartanah bernilai RM11.5 juta ini akan mempengaruhi keuntungan koperasi pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya, Koperasi Ukhwah juga berhasrat menjadi peneraju utama dan bergabung dengan koperasi lain dalam bidang pembangunan hartanah.