Saturday, July 4, 2009

Langkah Pemuda PAS bersemuka dengan Pemuda Umno dipuji

Langkah Pemuda PAS bersemuka dengan Pemuda Umno dipuji
Mohd Sabri Said Fri Jul 03, 09 3:41:57 pm MYT
PERMATANG PAUH, 3 Jun (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan langkah Dewan Pemuda PAS Pusat untuk bersemuka dengan Umno dalam 'Wacana Ilmiah Terbuka: Benarkah Perjuangan Umno Tidak bertentangan Dengan Islam' harus dipuji kerana sikap itu dapat membongkar Umno sebenarnya.
Iklan

Tambahan lagi usaha itu selari dengan kehendak Musyidul Am PAS, Dato' Nik Aziz Nik Mat yang mahu berdebat dengan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Jelasnya, perbahasan mengenai kebenaran tidak akan selesai selagi masing-masing berkeras tanpa adanya pertemuan berdasarkan kebenaran al-Quran.
"Apa-apa pertelingkahan pun jika mahu ukur siapa yang benar mesti kembali kepada al-Quran. Jika tidak semua akan berpanjangan," tegasnya.
Pertemuan itu juga boleh meninggalkan impak besar kepada PAS sebagaimana pertemuan atas dasar kemanusiaan Palestin oleh dua tokoh tanah air antara Presiden PAS waktu itu, Dato' Fazhil Noor dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun bukan mencari titik pertemuan perjuangan antara PAS dan Umno tetapi atas nama keadilan sejagat ekoran penindasan yang berterusan terhadap umat Islam di Palestin.
Yakin dan bersabar untuk melihat pertemuan itu sebab selalunya Umno akan mencari helah untuk membatalkanya demi tidak mahu menanggung malu jika panel yang mewakili Umno gagal mengemukakan hujah yang bernas, katanya.

"Apapun ahli kita harus bersatu dan bersabar serta terbuka hati untuk melihat penghujahan itu nanti. Rakyat pun akan menilai penghujahan kerana lazimnya hujah Umno pakai pemikiran bukannya ilmiah yang termaktub dalam al-Quran. Ataupun Umno sendiri akan mengumumkan pembatalan saat-saat akhir bila merasai diri mereka tertekan," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang. - mns_

Saturday, June 13, 2009

Umat Islam di Serata Dunia wajib Tolong Menolong

PAS kutuk serangan di Selatan Thailand
Irwan Muhammad Zain Fri Jun 12, 09 12:26:56 pm MYT


KUALA LUMPUR, 12 Jun (Hrkh) - PAS mengutuk keras serangan yang dilakukan ke atas umat Islam di selatan Thailand.


Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mendesak agar tindakan tegas diambil ke atas pihak-pihak yang melakukan keganasan tersebut.
"PAs mengutuk serangan yang berlaku di Selatan Thailand dan amat kecewa dengan apa yang berlaku.



"Kami juga mendesak agar siasatan segera dilakukan dan satu tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak-pihak yang melakukan serangan ini," tegas Hadi.
Beliau juga menjelaskan, PAS bersedia untuk memainkan peranan penting untuk menyelesaikan konflik di Selatan Thailand jika mendapat jemputan.



PAS, kata Hadi, tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan mana-mana pihak di Selatan Thailand.
Selatan Thailand bergolak lagi pada 9 Jun lalu bila 11 jemaah ditembak ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Sungai Golok kira-kira pukul 8.50 malam (waktu Malaysia).



Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.
Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.



Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di wilayah itu bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.



Bagaimanapun sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar pembunuhan kejam itu tetapi ada yang berpendapat berpunca daripada dendam dan pihak tentera Thai menafikan sebarang pembabitan anggota mereka. - mns

Saturday, May 16, 2009

PAS tetap laksanakan dasar kepimpinan ulama


Salmiyah Harun Sat May 16, 09 12:21:59 pm MYT
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - Majlis Syura Ulama PAS menyerahkan kebijaksanaan pewakilan dalam muktamar nanti untuk membuat pilihan memilih pucuk pimpinan yang bersesuaian dengan keputusan Muktamar pada Oktober 1982.

Muktamar 1982 itu telah memutuskan dengan jelas dan nyata bahawa PAS melaksanakan dasar kepimpinan ulama dalam menerajui PAS.

Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat pada 10 Mei lalu yang dihadiri seluruh ahli syura memperincikan keluhan dan rasa tidak puas hati sama ada melalui akhbar atau 'blog'.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din berkata, keputusan muktamar itu telah digunapakai tanpa sebarang masalah dan dihayati dengan teguh dan patuh.

Maka ketika itu Presiden PAS ialah seorang ulama, iaitu Almarhum Yusuf Rawa dan timbalannya pula adalah Almarhum Dato' Fadhil Noor.

Jelasnya, apabila Fadhil Noor ditabalkan menjadi Presiden pula maka Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi menjadi timbalannya.

"Manakala selepas Hadi naik menjadi peneraju utama maka Ustaz Hassan Shukri pula menjadi timbalannya dan kemudian bertukar kepada Ustaz Nasaruddin Mat Isa hingga sekarang.

"Itulah mantapnya kepimpinan ulama yang diterima pakai hingga sekarang," tegas Haron Din ketika dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.

Beliau juga yakin seluruh ahli PAS memahami prinsip itu dan tidak ada kegusaran kerana mereka akur kepada muktamar.

Jelasnya, selagi muktamar tidak ubah keputusannya maka selama itulah PAS akan terus diterajui kepimpinan ulama.

Bagaimanapun, beliau kesal dengan propaganda oleh media arus perdana yang memainkan isu dalaman PAS dan melaga-lagakan antara ulama dengan profesional.

Katanya, laporan media kerajaan seolah-olah menggambarkan ada pergolakan dalaman PAS dengan merebut jawatan yang dilihat sebagai suatu kurang sihat.

"Mungkin mereka (media) terpengaruh dengan politik Umno yang telah begitu parah dalam persaingan merebut jawatan.

"Maka akhbar yang dipunyai Umno ini seolah-olah sengaja untuk menggambarkan kemelut politik yang ada dalam PAS, sehingga sebahagian pimpinan PAS yang terheret ke dalam kencah itu lalu membuat komen seperti ada pertarungan dalaman merebut jawatan," jelas beliau.

Tambah Haron, modal asas media arus perdana ini adalah pertembungan antara ulama dengan profesional.

Mengulas Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan memantau pemilihan PAS, Haron berkata badan itu perlu bukti yang kukuh jika benar ada unsur-unsur rasuah.

Apa yang membimbangkan kata beliau, 'penyakit' rasuah dalam Umno cuba hendak dipalitkan ke dalam PAS.
"Keadaan ini seolah-olah hendak menggambarkan bukan sahaja Umno berpolitik wang malah PAS pun sedemikian," katanya.
Justeru, tegas beliau selagi tidak ada bukti nyata yang dapat diketengahkan perkara ini PAS menganggap unsur itu tidak wujud. - mks._

Monday, April 20, 2009

Bukan Islam bertakbir.

Wan Nordin Wan Yaacob Mon Apr 20, 09 1:33:50 pm MYT

SEREMBAN, 20 april (Hrkh) - Kalimah Takbir " Allahuakhbar" yang satu ketika dahulu dipandang sepi masyarakat, hari ini telah menjadi ratib bukan sahaja di kalangan Islam juga kepada bukan Islam.

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifly Mohammad Omar semasa berucap dalam dua majlis perasmian Mesyuarat Agung PAS iaitu PAS Kawasan Rembau dan PAS Kuala Pilah semalam.

"Kini bukan Islam pun sudah mula bertakbir, walaupun bacaannya tidakberapa betul namun mereka sudah positif dengan kalimah ini, Alhamdulillah ia satu kejayaan PAS.
"Kalau sebelum ini ketika orang-orang PAS bertakbir,ramai di kalangan pemimpin Umno mempertikai dan memperlekeh takbir ini, kata mereka PAS tak akan ke mana jika hanya sibuk bertakbir.

"Tetapi hari ini kita berjaya dengan kalimah ini hingga bukan Islam juga tidak segan dengan takbir ini," kata Zulkifly.
Bagi Zulkifly, mutakhir ini bukan Islam tidak lagi segan dengan perjuangan PAS,malah dalam beberapa kempen pilihan raya umum dan kecil, bukan Islam dilihat cukup bersemangat bertakbir.

"Paling saya terharu apabila ada rakan-rakan Kelab Penyokong PAS menghantar sms-sms mereka dengan kalimah Allahuakhbar, dan ada juga yang faham erti kalimah ini, ini satu kejayaan dakwah PAS kepada bukan Islam," katanya.
Fenomena perubahan persepsi kalangan bukan Islam ini kata Zulkifly amat ketara di Negeri Sembilan, malah sokongan kumpulan ini kepada PAS hari ini membuahkan kejayaan bukan sahaja dalam pilihan raya tetapi yang utama kepada dakwah.

Dalam majlis yang sama, Zulkifly turut mengingatkan ahli PAS Negeri Sembilan agar terus istiqamah dengan perjuangan Islam.
Katanya,perjuangan menegakkan Islam ini adalah dakwah yang berterusan setiap ahli PAS yang tidak boleh ditinggalkan.

Sementara itu dalam Mesyuarat PAS Rembau, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani telah terpilih sebagai Yang diPertua Kawasan, sementara Rozmal Malakan sebagai timbalannya.

Kira-kira 100 ahli dan kepimpinan PAS Kawasan Rembau hadir dalam mesyuarat kali ini. /wann

Sunday, April 19, 2009

HADI - Rakyat tolak politik kotor BN

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Wed Apr 08, 09 1:53:33 pm MYT

Bersyukur kehadrat Allah SWT setelah kita semua bertungkus-lumus berusaha akhirnya dengan keizinan-Nya, Parti Islam SeMalaysia (PAS) dianugerahkan kemenangan dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang melalui calon parti, Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sesungguhnya kemenangan ini adalah sangat bermakna buat PAS dan Pakatan Rakyat (PR) khasnya di Perak kerana ia membuktikan bahawa rakyat menolak sama sekali amalan kotor 'politik pintu belakang' yang direncanakan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) sehingga menjatuhkan kerajaan negeri yang dipilih dan diberikan mandat oleh rakyat dalam pilihanraya umum yang lalu.

Mudah-mudahan kemenangan ini akan menyedarkan semua pihak bahawa satu-satunya penyelesaian kepada konflik politik dan perlembagaan yang sedang dihadapi di negeri Perak Darul Ridzuan adalah dengan cara membubarkan Dewan Undangan Negeri dan seterusnya menyerahkan kembali mandat untuk diputuskan oleh rakyat dalam pilihan raya kerusi DUN di seluruh Perak.

Sehubungan dengan kemenangan ini juga saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua para petugas dan pekerja parti dari seluruh negara termasuklah rakan-rakan dari PKR dan DAP, pimpinan dan ahli Kelab Penyokong PAS, kelompok Media Baru, para NGO dan orang perseorangan yang telah bekerja tanpa jemu dalam menyumbang ke arah kemenangan ini. Mudah-mudahan segala pengorbanan dan kerja kuat itu akan dibalasi dengan ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.

Kemenangan ini juga adalah menunjukkan keberanian suara rakyat yang mempunyai harga diri dan tidak mampu digugat oleh janji dan ugutan dari jentera Umno dan BN yang terus menerus berselindung di sebalik jentera kerajaan. Kehadiran serta kempen Tun Dr Mahathir dan pimpinan baru Umno yang kononnya melaungkan nada baru dalam pilihan raya ini juga bukan sahaja tidak mendatangkan kesan, malah memburukkan lagi keadaan.

Ternyata bahawa kegagalan Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang lalu adalah bukan berpunca semata-mata dari kelemahan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi adalah suatu hakikat bahawa sememangnya parti Umno dan BN semakin lemah dan tidak mampu berhadapan dengan rakyat yang semakin celik di negara kita ini.

BN hanya berjaya mempertahankan kerusi di Batang Ai dan di lain-lain tempat yang rakyat sememangnya dinafikan hak untuk mendapat maklumat sahaja.
Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada PKR kerana berjaya mempertahankan kerusi DUN Bukit Selambau melalui calonnya S.Manikumar. Sesungguhnya kemenangan ini memperkukuhkan lagi kedudukan Kerajaan PR Kedah pimpinan Dato� Seri Azizan Abdul Razak.

Kedua-dua kemenangan ini di samping kemenangan terdahulu di kerusi parlimen Permatang Pauh dan di kerusi parlimen Kuala Terengganu insya-Allah akan merubah lanskap politik tanahair dengan menempatkan PAS dan Pakatan Rakyat sebagi parti arus perdana baru yang disokong dan didokong oleh rakyat jelata. - mks.

Saturday, April 18, 2009

Zambry dan enam Adun BN tidak boleh hadiri sidang Dun Perak

Mohamed Hanipa Maidin Fri Apr 17, 09 10:14:14 pm MYT

Saya sedar ramai yang ingin tahu kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu yang memutuskan bahawa keputusan V.Sivakumar, Speaker Perak menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya hadir di Dun Perak selama 18 bulan dan 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.

Ramai yang bertanya saya adakah keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam exconya kini boleh menghadiri sidang Dun Perak?
Jika kita melihat kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar pro-Umno seperti Utusan Malaysia (17.4.2009) mereka dengan tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa Zambry dan enam exconya kini dibenarkan menghadiri sidang Dun Perak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebagai salah seorang peguam yang terlibat dalam kes tersebut, saya menasihati rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar Umno tersebut. Banyak yang mereka sembunyikan dan tidak jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.


Marilah kita mulakan dengan melihat apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya di dalam saman yang mereka kemukakan ke atas Sivakumar di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya didengar di Mahkamah Persekutuan.


Sebenarnya Zambry telah memohon sepuluh (10) perintah Mahkamah dan dari sepuluh perintah tersebut Mahkamah hanya membenarkan dua (2) perintah sahaja. Dua perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah adalah seperti berikut:
Pertama, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang Zambry hadir di Dun Perak selama 18 bulan.


Kedua, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang enam exco Zambry untuk hadir di Dun Perak selama 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.
lapan permohonan Zambry tidak dilulus Mahkamah


Itu sahaja dua perintah yang Mahkamah Persekutuan benarkan pada 16 April lalu. Tidak lebih dari itu. Apa sahaja kenyataan dari peguam Umno selain dari dua perintah tersebut bukanlah perintah Mahkamah sebaliknya adalah kenyataan mereka yang tidak berasas.

Memandangkan Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua perintah di atas, adalah jelas Mahkamah tidak membenarkan lapan (8) perintah lain yang juga dipohon oleh Umno dan dihujahkan oleh para peguam Zambry dan pasukan peguam Sivakumar.

Apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan? Mari sama-sama kita saksikan lapan perintah yang TIDAK DIBENARKAN tersebut.

Meskipun peguam Umno berhempas pulas dan bermati-matian berhujah, Mahkamah Persekutuan TIDAK MEMBENARKAN perintah-perintah berikut:
1. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar (defendan pertama di dalam kes tersebut) menggantung dan melarang Plaintif Pertama (Zambry) menghadiri pada sidang Dun selama 18 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.


2. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry menghadiri sidang DUN selama 18 bulan adalah menyalahi undang-undang.


3. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Plaintif ke-2 hingga Plaintif ke-7 (enam Exco) menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.


4. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang enam Exco menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah menyalahi undang-undang.


5. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Zambry dan enam Exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka di dalamnya.


6. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya menghadiri sidang Dun Perak.


7. Perintah untuk mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan apa-apa arahan, perintah dan/atau petunjuk Sivakumar yang berbangkit daripada atau berhubung dengan keputusan Sivakumar yang bertarikh 18.2.2009.


8. Perintah-perintah, perisytiharan dan/atau relif lain yang difikir suaimanfaat oleh Mahkamah.
Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa lapan perintah di atas yang Zambry dan enam exconya pohon TIDAK DIBENARKAN oleh Mahkamah Persekutuan.


Atas dasar itu jika peguam Umno atau akhbar pro-Umno mengatakan bahawa Zambry dan enam exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak, jelas kenyataan itu bukan datang dari mana-mana perintah Mahkamah sebaliknya ianya hanya kenyataan tidak berasas dari peguam Umno dan akhbar mereka.

Kenyataan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi undang-undang. Rakyat tidak perlu melayan kata-kata mereka yang dibuai khayalan tersebut.

Bagaimanakah Umno boleh mengatakan keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam Exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak sedangkan Mahkamah dengan secara jelas tidak membenarkan perintah yang mereka pohon iaitu perintah bahawa Zambry dan enam exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka dalamnya.

Kalau perintah tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan barulah mereka boleh mengatakan Zambry dan enam exconya boleh ke sidang Dun Perak.
Saya harap penjelasan di atas sedikit sebanyak dapat menjelaskan bahawa apa yang Umno kata di media massa adalah tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.

Sivakumar masih Speaker dan beliau masih berbisa. Jika Umno terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan tidak mustahil mereka mungkin akan dipatuk oleh Sivakumar dan saya percaya patukan selepas ini akan membuat Umno menderita lebih panjang.

Saya juga ingin tegaskan di sini apabila Zambry dan enam exconya membawa kes mereka di Mahkamah dengan mencabar keputusan Sivakumar sebagai Speaker yang sah, mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan satu kesalahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi Dun Perak tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Sivakumar sebagai Speaker.

Marilah kita sama-sama tunggu dan lihat apakah yang berlaku selepas ini.
Nota: Penulis ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan hak Asasi Manusia PAS Pusat.- tajdid_

Friday, April 10, 2009

Pilih pemimpin berjuang dunia, akhirat - Haron Din

Azamin Amin Mon Apr 06, 09 8:54:37 am MYT

"...suasana yang tidak stabil di Perak. Angkara siapa? Bukan Nizar. Nizar menjadi mangsa."


Sebelum para penduduk Parlimen Bukit Gantang membuat membuang undi pada 7 April, tokoh agama dan Timbalan Musryidul Am PAS Dato' Dr Haron Din memberitahu Penolong Pengarang Harakahdaily AZAMIN AMIN panduan memlih pemimpin yang dituntut agama, sekaligus memberi kesan di dunia dan akhirat serta dalam masa sama demi membela nasib rakyat dan Nizar Jamaluddin yang teraniaya akibat Umno-BN yang mencetuskan suasana huru-hara di Perak tempoh hari.


1.Boleh Dato' jelaskan bagaimana Islam melihat pilihan raya sebagai satu wadah perjuangan untuk menuju kebahagiaan dunia dan akhirat serta ciri sebetulnya memilih pemimpin untuk rakyat?

Haron Din : Pilihan raya adalah satu tuju arah yang boleh di lihat dalam dua dimensi. Pertama apa tujuan sebenar calon yang bertanding? Kedua kewibawaan dan ketokohan orang serta parti itu.
Tentang tujuan ada yang semata-mata berjuang kerana dunia seperti Umno dan ada yang bertujuan untuk dunia dan akhirat. Calon Umno dan partinya itu, umum telah mengetahui ianya bertujuan untuk dunia dan kepentingan diri semata-mata. Banyak sudah dibuktikan.

Calon PAS pula telah dibuktikan bahawa perjuangannya untuk dunia dan akhirat. Dato' Seri Nizar Jamaluddin berada dalam kelompok perjuangan yang sudah tentu menghadapi banyak musuh yang banyak mempunyai kepentingan duniawi.

Siapa sahaja sejak zaman Nabi dan para sahabat, berperang, ada sahaja yang menjadi musuh. Nabi Muhammad saw sendiri mempunyai musuh terdekat iaitu bapa saudaranya. Itu tanda syaitannnya 'lebih kuat' untuk mengganggu orang yang baik.
Kita mesti melihat wadah parti yang disokong, bagi pengundi di Bukit Gantang, Nizar mewakili parti Islam yuang mencari keredhaan Allah. Manakala satu parti lagi dakwa bersifat kebangsaaan Melayu (Umno) dan tidak ada apa yang diperjuangkan untuk bangsa Melayu.


2. Kata parti lawan seolah-olah mereka adalah juara memperjuangkan agama, bangsa dan negara?

Mereka melaungkan dan dakwa. Kalau nak kira dakwa, budak kecil juga boleh dakwa. Sudah hampir lebih 52 tahun diberi kuasa, apa yang dilakukan untuk Islam malah ia merosakkan lagi ada.
Mereka pamer kepada masyarakat bahawa seolah-olah Islam ini tidak sempurna. Jadi untuk itu, mereka buat Islam Hadhari untuk tampung Islam sebenar. Sejak daripada Islam Hadhari diwujudkan apa yang mereka buat untuk Islam sesuai seperti yang dicanangkan?Tidak ada yang mereka buat, cakap tidak serupa bikin.

Wadah untuk pengundi di Bukit Gantang bukan sekadar pilih calon tetapi untuk masa depan negara dan rakyat. Dengan maksud jika wakil kelompok yang memperjuangkan Islam dipilih, ianya satu mesej jelas bahawa masyarakat Malaysia, Islam dan bukan Islam sedang melakukan proses penolakan ke pada parti Barisan Nasional (BN) - Umno dan sekaligus menerima baik Pakatan Rakyat.

Jika kalah, Umno akan mendabik dada kononnya mereka masih relevan sedangkan hakikat telah pun ditolak pada pilihan raya 8 Mac lalu.
Saya seru proses penolakan ini diterjemahkan terus bukan sahaja di Bukit Gantang tetapi di DUN Bukit Selambau dan Batang Ai, ia mewakili satu wadah perjuangan ke arah memartabatkan Islam dan kukuhkan Pakatan Rakyat.

Pilihan raya ini bagi mengubah kemungkaran dan kerosakan Umno-BN dan gantikan dengan sebuah negara berkebajikan yang diperjuangkan PAS dan Pakatan Rakyat yang dinantikan seluruh masyarakat.

Syukran.