Saturday, May 3, 2008

BANGLO SRI HARTAMAS, KL



Ukhwah beli banglo
Oleh Nor Azura Abdul Jalilzura@hmetro.com.my

KOPERASI Pendidikan Islam Malaysia Berhad (Koperasi Ukhwah) mengembangkan pemilikan hartanahnya di Lembah Klang dengan pembelian lapan unit banglo berkembar di Kiara View, Sri Hartamas bernilai kira-kira RM11.5 juta.

Pengerusinya, Mustapa Kamal Maulut, berkata hartanah itu disewakan kepada syarikat multinasional dan profesional luar negara yang memilih Malaysia sebagai rumah kedua melalui program ‘Malaysia My 2nd Home’ yang dianjurkan kerajaan. “Kadar sewaan antara RM9,000 hingga RM12,000 sebulan dan diharap dapat meningkatkan nilai purata keuntungan koperasi dalam bidang hartanah antara sembilan hingga 10 peratus setahun,” katanya ketika majlis menandatangani perjanjian sewaan lapan banglo berkembar selama tiga tahun dengan Metropolis Property Sdn Bhd di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis disaksikan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mangsor Saad. Hadir sama, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat dan Pengarah SKM Wilayah Persekutuan, Tan Chu Lan.

Pada majlis sama, Metropolis Property Consultant Sdn Bhd diwakili Pengarahnya, A K Ong menyerahkan cek sewaan lapan banglo itu yang bernilai RM2.88 juta kepada Mustapa Kamal.

Mustapa berkata, sehingga kini ahli koperasi Ukhwah sudah mencecah 40,000 orang. Menurutnya, pihaknya yakin mampu memberi dividen tahunan 10 peratus kepada ahli berikutan kejayaan koperasi mencatatkan keuntungan hampir RM4 juta tahun lalu. “Justeru, kami yakin dengan pembelian hartanah bernilai RM11.5 juta ini akan mempengaruhi keuntungan koperasi pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya, Koperasi Ukhwah juga berhasrat menjadi peneraju utama dan bergabung dengan koperasi lain dalam bidang pembangunan hartanah.

No comments: